SEBAB HATI TIDAK TENANG....


Ketenangan adalah hadiah yang paling bahagia ALLAH S.W.T berikan kepada seseorang. Walau kekayaan atau limpahan kuasa yang diberikan tidak menjamin ketenangan jiwa seseorang. Berikut sedikit sebanyak sebab yang dapay sensei kongsikan bersama anda semua sebab musabab hati tidak bahagia atau tenang...RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL!!!


a) Pemarah
Paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak terang.

b Pendendam
Tersembunyi ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.

c) Hasad dengki
Amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan.

d) Bakhil
Sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dan lain-lain dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui makhluk.

e) Tamak
Orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut, walau berapa banyak yang diminum tetap tidak habis juga (lagipun orang tamak selalu rugi). Ingat! Yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita (mungkin ada hak orang lain di situ). Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.

f) Tidak sabar
Andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar.

g) Ego
Ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin. Pasal semua orang ada egonya sendiri, cuma tinggi atau rendah tahap keegoan tersebut.

h) Riak
Terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon-lakon di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. Allah marah kalau kita riak, takabbur dengan apar yang kita ada.

i) Cinta Dunia
Tidak dapat menderita, dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah, tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu (bila mati cuma bawa amalan dan doa anak yang soleh atau solehah). Cinta dunia merupakan 'neraka dunia' kerana dunia itu 'panas' akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.

Kesimpulan
Jadi yang meragut kebahagiaan sebenarnya bukanlah secara TOTALnya disebabkan kemiskinan, musibah, kesibukan dan lain lainnya, tetapi ialah MAZMUMMAH. Makin tinggi mazmummah seseorang, makin ia tidak bahagia.

Samada bermujahadah atau biarkan saja mazmummah itu, kedua-duanya tetap menderita tetapi andainya bermujahadah kita akan dibantu Allah dan akan bahagia jua akhirnya. Sama-samalah kita sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain, andai kita terleka dengan dunia buruklahh padahnya.


Perbezaan Islam dengan Kristian Bahagian Akhir

h. Hukum-hakam Islam lengkap sebagai satu perundangan dalam seluruh aspek kehidupan manusia. Perundangan dalam agama Kristian tidak menyeluruh menyebabkan mereka terpaksa mencipta pelbagai hukum-hakam untuk melengkapkan kehidupan mereka. Contohnya undang-undang perceraian, tidak ada dalam agama Kristian. Mereka terpaksa mencipta atau mencedok dari mana-mana untuk mendapatkan undang-undang tentangnya.

i. Oleh kerana tidak mampu menjelaskan banyak perkara, agama Kristian hari ini terdorong untuk menjadikan para penganutnya beriman secara buta. Banyak perkara perlu diterima tanpa perlu dipersoalkan. Cukup dengan kita menyayangi Jesus dan Jesus menyayangi kita. Hari ini manusia semakin berpelajaran tinggi. Mereka tidak boleh menerima sesuatu tanpa ada alasan yang kukuh. Mereka tidak mahu memperjudikan agama mereka dengan sekadar mengikut-ikut tetapi mesti dengan kajian. Dalam hal ini, agama Islam jelas dan mudah. Manusia bebas mengkaji dan mendapat keputusan, bukan sekadar ‘mesti ikut dan mesti percaya’ sahaja.
"Kasihilah Tuhan kamu... DENGAN SELURUH AKAL"
(Bible Markus 12:30)
"Allah adalah Allah yang suka akan ketertiban, bukan kekeliruan".
(Bible Korintus 1 14:33)

j. Konsep keTuhanan dalam agama Kristian tidak selaras dengan konsep Tuhan yang sebenar. Dengan memeluk Islam, konsep keTuhanan kita begitu jelas dan mudah. Sembah Bapa sahaja sebagai Tuhan, selain Bapa semuanya makhluk.
“Inilah kehidupan yang kekal, iaitu supaya mereka mengenal Engkau Tuhan Yang Esa (Satu), dan Jesus Kristus yang telah Engkau suruhkan itu.” (Yohanes 17:3)
“Dan janganlah kamu menyebut sesiapapun Bapa di bumi ini, kerana ada satu sahaja Bapamu, iaitu Dia yang di syurga.” (Matius 23:9)
"Kita juga tahu bahawa ALLAH HANYA SATU IAITU BAPA tidak ada yang lain. Sekali pun banyak yang disebut dewa dan tuhan, baik di syurga mahu pun yang di bumi, tetapi bagi kita Allah hanya satu. Dia Bapa yang menciptakan segala sesuatu, dan untuk Dialah kita hidup.” (Korintus 1 8:5-6)
Ini semua ayat-ayat dari Bible sendiri.

PENUTUP
Setakat itu sajalah penjelasan yang mampu saya berikan buat masa ini. Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan sedikit kepuasan kepada anda. Sekiranya anda masih mahukan penjelasan dan tukar-tukar fikiran lebih lanjut, jangan segan-segan untuk mengajukannya, saya bersedia membantu. : )
Akhirnya, sebagai memenuhi permintaan para rasul dan nabi terdahulu yang menyuruh manusia mengikut rasul-rasul dan nabi-nabi terkemudian, dan para rasul dan nabi terkemudian termasuklah Jesus yang menyuruh manusia supaya mengikut Nabi Muhammad, dan seterusnya mengikut Nabi Muhammad yang menyuruh agar Islam disampaikan kepada seluruh umat manusia…… saya menawarkan kepada anda agama Islam untuk dijadikan sebagai pegangan hidup dan mati. Yang dengannya kita akan mendapat kejayaan dan keselamatan dalam hidup sesingkat 70-80 tahun di dunia ini, dan dengannya jugalah kita akan mendapat kejayaan dan keselamatan dalam hidup bertrillion tahun (selamanya) di akhirat nanti. Dengan memilh Islam, bermaksud kita mendapat Muhammad dan masih mendapat semua para rasul termasuklah Musa dan Jesus, keraan mereka semua adalah para utusan Tuhan yang mesti diimani oleh seseorang yang beragama Islam.

Semoga tidak menjadi salah faham, kata-kata saya di atas adalah berupa satu tawaran ataupun saranan, bukannya gesaan dan jauh sekali paksaan. Tidak ada paksaan dalam beragama. Anda bebas mengkaji dan memilih. Membuat pilihan atas kajian adalah lebih berkualiti dariapda membuat pilihan atas dasar ikut-ikutan. Dalam beragama kita mesti hendakkan kepuasan dan kejelasan.

Salam hormat dari saya.
'BerTuhankan Allah, Bersyariatkan Syariat Muhammad saw'
Abu Zulfiqar 'Alexanderwathern'
24 SEPTEMBER 2007
http://myalexanderwathern.blogspot.com

Perbezaan Islam dengan Kristian Bahagian 3

12. PERBEZAAN DARI SEGI TEMPAT IBADAH
Umat Kristian beribadah di gereja walaupun Nabi Isa dan para sahabatnya sendiri beribadah di sinagog (rumah ibadah agama Yahudi). Nabi Isa tidak pernah membina gereja ataupun menyuruh dibuatkan gereja. Umat Islam beribadah di masjid, sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad.

13. PERBEZAAN DARI SEGI QIBLAT
Qiblat Kristian ialah ke Baitul Maqdis manakala Qiblat umat Islam ke Masjidil Haram di Makkah. Asalnya qiblat umat Islam juga ke Baitul Maqdis tetapi Bapa memerintahkannya ditukar ke Qiblat pertama umat-umat terdahulu iaitu ke Makkah kembali.

14. PERBEZAAN DARI SEGI PERLAKUAN PARA PEJUANG
Ketika Tentera Salib menakluki Jerusalem, ribuan umat Islam yang menyerah, kebanyakannya bukan tentera tetapi kanak-kanak, wanita dan golongan tua dibunuh. Ketika Sultan Salahuddin al-Ayyubi mendapat semula kota tersebut daripada tentera Kristian, semua penganut agama Kristian termasuklah para tentera yang menyerah kalah dibebaskan. Malah perjalanan mereka berpindah keluar daripada Jerusalem diawasi oleh tentera Islam agar keselamatan mereka terjamin.

15. PENGANUT YANG LEBIH RAMAI
Di peringkat antarabangsa, perangkaan yang biasa saya lihat menunjukkan penganut agama Kristian lebih banyak daripada penganut agama Islam. Perangkaan rasmi inilah yang kita pakai. Namun begitu, keraguan tetap timbul memandangkan agama Islam begitu pesat berkembang di Amerika, Eropah dan Afrika melebihi perkembangan agama Kristian. Banyak gereja dan bangunan dibeli lalu digantikan fungsinya dengan masjid. Lagi pula, banyak orang Barat yang pada pengenalan diri mereka tertulis agama Kristian sebenarnya tidak menganut mana-mana agama dan lebih suka menjalani kehidupan sebagai seorang atheis. Secara tidak rasminya saya memandang jumlah umat Islam melebihi jumlah umat Kristian.

16. MENGAPA MUSLIM LEBIH RAMAI?
Baiklah. Katakanlah kita memakai kenyataan anda bahawa Muslim lebih ramai. Mengapa lebih ramai walaupun Islam memberi laluan kepada Kristian untuk memecut 600 tahun lebih awal? Banyak faktor-faktornya. Antara yang utama ialah:

a. Islam lebih dulu sampai ke Timur. Penduduk Timur lebih banyak daripada Barat. Dan kedatangan Islam adalah dengan jalan damai, dagang dan kasih sayang sedangkan kedatangan Kristian adalah dengan jalan perang, penaklukan dan penjajahan. Kekejaman para pimpinan Kristian dalam pembunuhan ratusan ribu manusia tidak bersalah di Hiroshima dan Nagasaki tidak akan dilupakan orang, dan inilah keganasan paling besar dalam sejarah. Imej agama Kristian sering saja dikaitkan dengan keganasan tetapi hari ini media-media cuba meletakkan ‘keganasan’ agar menjadi imej Islam, namun begitu sejarah tidak boleh dibohongi.

b. Ajaran Islam selaras dengan fitrah manusia dan fitrah alam serta pengetahuan sains. Islam tidak pernah bertentangan dengan ilmu pengetahuan.

c. Islam memandang manusia sama rata. Tidak ada sistem kasta ataupun dasar ‘apartheid’. Tidak ada perbezaan antara bangsa Timur dengan bangsa Barat, kulit putih dengan kulit berwarna.

d. Sumber utama agama Islam iaitu al-Quran The Last Testament masih terpelihara sebagaimana yang asal sedangkan kitab Bible berisi banyak kesalahan, penyelewengan dan ubahsuaian.

e. Kebenaran Islam dan Nabi Muhammad sudah disebut dalam kitab-kitab terdahulu sama ada secara jelas ataupun berkias.

f. Kitab Perjanjian Akhir tidak berisi cerita-cerita lucah. Hal ini membuatkan ia lebih mudah diterima sebagai firman Tuhan berbanding Bible.

g. Semua persoalan pokok dalam ajaran Islam ada sandaran kukuh dan boleh dihujahkan hingga mendapat keputusan yang diakui. Walau serosak manapun umat dan persoalan-persoalan cabangan, agama Islam itu tetap benar kerana asasnya adalah benar. Bagi agama Kristian, perosalan-persoalan pokoknya kurang sandaran kukuh, mengelirukan, mengandungi kesalahan dan seumpamanya. Walau sebaik manapun umat dan persoalan-persoalan cabangannya, agama Kristian tetap diragukan kerana persoalan asasnya tidak beres.

Perbezaan Islam dengan Kristian Bahagian 2

5. PERBEZAAN DARI SEGI SUMBER
Ajaran Kristian bersumberkan kitab Bible yang terdiri daripada The Old Testament (Perjanjian Lama) dan The New Testament (Perjanjian Baru) manakala agama Islam bersumberkan kitab suci al-Quran, yang juga dikenali sebagai The Last Testament (Perjanjian Terakhir).

6. PERBEZAAN DARI SEGI ISI KANDUNGAN SUMBER
Isi kandungan Bible bercampur-aduk antara firman Tuhan, sabda Jesus dengan tulisan para sejarahwan. Perjanjian Akhir pula berisi firman Tuhan semata-mata. Sabda Nabi Muhammad dinamakan ‘hadis’ dan tidak bercampur dengan al-Quran. Nukilan para sejarahwan Islam pula dinamakan ‘tarikh’ dan tidak bercampur dengan al-Quran ataupun hadis. Dengan itu,al-Quran ‘solid’ 100% firman Tuhan.

7. PERBEZAAN DARI SEGI MATLAMAT
Agama Kristian bermatlamat untuk menyelamatkan kaum Bani Israil sahaja manakala agama Islam bermatlamat untuk menyelamatkan seluruh umat manusia.“Maka dia akan beranakkan seorang anak lelaki, dan hendaklah kamu menamakan dia Jesus, kerana dialah yang akan melepaskan kaumnya (Bani Israil) daripada segala dosa.” (Bible Matius 1:21)

8. PERBEZAAN DARI SEGI AKIDAH
Umumnya Kristian menyembah tiga Tuhan dalam satu yang dikenali sebagai triniti ataupun trinitas. Triniti ini ada beberapa versi dan yang paling popular ialah kesatuan antara Bapa, Anak dan Roh Kudus. Ketiga-tiganya dianggap setara dan satu peribadi. Islam pula menyembah Tuhan Yang Esa iaitu Bapa sahaja. Umat Islam menyembah Bapa seorang. Bagi Islam, Anak, Roh Kudus, Mariam ataupun yang lain-lain bukanlah Tuhan tetapi makhluk. “Pada waktu itu berkatalah Jesus: "AKU BERSYUKUR KEPADA-MU BAPA- TUHAN LANGIT DAN BUMI, kerana semuanya itu Engkau sembunyikan bagi orang bijak dan orang pandai, tetapi Engkau nyatakan kepada orang kecil.”(Bible Matius 11: 25) Namun begitu, ada sebilangan kecil umat Kristian yang berfahaman Unitari- yang menyembah Bapa sebagai satu-satunya Tuhan sebenar.

9. PERBEZAAN DARI SEGI GEOGRAFI
Kristian bermula di Baitul Laham (Bettlehem) ataupun sekitarnya manakala Islam bermula di
Makkah. Kini Kristian lebih berkembang di Amerika, Eropah dan Australia yang biasa kita sebut sebagai Barat. Islam pula lebih berkembang di Tanah Arab, Afrika, Nusantara, China, Khurasan dan lain-lain yang biasanya disebut sebagai Timur.

10.PERBEZAAN DARI SUDUT SEJARAH
Sebaik-baik sahaja Nabi Jesus tiada, agama Kristian meneruskan kehidupannya secara sulit-sulit, ditolak, diperintah, ketakutan, ditindas, pembawanya tidak ramai, banyak pembawanya yang dibunuh ataupun ditangkap, kitab sucinya tidak dihafaz dan lain-lain yang memungkinkan ajaran asalnya tidak sampai 100% kepada kita hari ini. Selepas kewafatan Nabi Muhammad, agama Islam tersebar secara terang-terangan, meluas, memerintah, tersusun dan sistematik, pembawanya ramai bertebaran ke Timur dan ke Barat, diterima orang, kitab sucinya dihafaz perkataan demi perkataan oleh ratusan (secara terpisah-pisah oleh ribuan orang) dan sebagainya yang memungkinkan ajaran asalnya masih kekal 100% hingga ke hari ini. Kini penghafaz keseluruhan al-Quran ada puluhan ribu orang. Berapa orang yang menghafaz keseluruhan Bible yang asal?

11. PERBEZAAN DARI SUDUT PENYEBARAN
Agama Kristian lebih banyak tersebar melalui penaklukan dan kekerasan. Agama Islam pula lebih banyak tersebar melalui dakwah dan perdagangan. Antara buktinya, agama Islam lebih dahulu tiba di Asia berbanding agama Kristian. Ia dibawa oleh para pendakwah dan pedagang. Tapi sebaik-baik sahaja Barat menemui jalan ke Timur, mereka datang dengan kapal perang
dan slogan ‘Gospel, Gold & Glory’ lalu menakluk dan menjajah India, Tanah Melayu, Indonesia,
Filipina, Indo-China hinggalah ke China. Islam masuk ke Melaka tanpa pertumpahan darah. Kita bandingkan dengan cara Kristian masuk ke Melaka.

Perbezaan Islam dengan Kristian Bahagian 1

TULIS ANNA VELITA KEPADA ALEXANDERWATHERN "Abu Zulfiqar"
Posted: Mon Sep 24, 2007
Saya memerlukan nasihat daripada tuan...kerana saya masih terumbang-ambing untuk mencari agama sebenar.Saya perlukan jawapan daripada anda..sekadar ingin bertanya.,,tidak berniat lain. Saya ingin bertanya kepada tuan..apakah berbezaan Kristian dan Islam
Kenapa penganut Islam lebih ramai dari Kristian?

BALASAN ALEXANDERWATHERN :
Kepada Anna Velita,
Saya bersedia untuk bertukar-tukar fikiran, semoga ada manfaatnya untuk kita. Cuma maklum balas daripada saya kadang-kadang terlewat akibat kesibukan. Katanya anda ‘masih terumbang-ambing untuk mencari agama sebenar’. Apa yang berlaku kepada anda kini sebenarnya pernah berlaku kepada Nabi Ibrahim/ Abraham pada zaman dahulu. Akhirnya Nabi Ibrahim berjaya menemui Tuhan dan agama sebenar setelah beberapa mengkaji dan tercari-cari. Semoga anda pun menjadi sepertinya. : ) Sebelum kita berbicara lebih jauh, harap anda tidak keberatan untuk menyatakan agama yang anda anuti kini. Sekiranya kini anda tidak berpegang dengan mana-mana agama, mungkin sebelum ini pernah. Makluman anda akan lebih membantu kita dan memberikan saya lebih banyak idea, insyaallah.

Kata Anna:
“Saya perlukan jawapan daripada anda..sekadar ingin bertanya.,,x berniat lain” Saya akan berusaha memberi jawapan, ataupun sekurang-kurangnya memberi ‘panduan untuk mencapai jawapan’, setakat kemampuan saya. Pertanyaan yang ikhlas, pastinya akan mendapat jawapan yang ikhlas daripada saya. Usahlah dirisaukan hal itu.

PERBEZAAN KRISTIAN DENGAN ISLAM
Perbezaan antara kedua-dua agama ini luas untuk kita diskusikan, banyak sudut-sudut perbezaan yang ada. Oleh kerana anda tidak spesifikkan ‘perbezaan’ tersebut, saya sentuh secara agak luas tetapi ringkas.

1. PERBEZAAN DARI SUDUT MASA
Agama Kristian sudah berusia lebih 2 000 tahun manakala Islam lebih daripada 1 400 tahun.

2. PERBEZAAN DARI SUDUT PEMBAWANYA
Kristian dibawa oleh Nabi Isa a.s, yang dikenali juga sebagai Jesus. Dia dinamakan ‘Jesus’ kerana dialah penyelamat kaum Bani Israil sebagaimana yang diterangkan dalam Bible: “Maka dia akan beranakkan seorang anak lelaki, dan hendaklah kamu menamakan dia Jesus, kerana dialah yang akan melepaskan kaumnya (Bani Israil) daripada segala dosa.” (Bible Matius 1:21)
Islam dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, yang juga dikenali sebagai Ahmad. Di dalam Bible,
Nabi Muhammad juga dikenali sebagai ‘Seumpama Musa’, ‘Nabi Itu’, ‘Pahlawan’, ‘Yang Tidak
Dapat Membaca’, ‘Paracletos’, ‘Penghibur’, ‘Roh Kebenaran’, ‘Himada’, ‘Dia Yang Datang Kemudian Daripadaku’, ‘Dia Yang Digerakkan Dari Timur’ dan lain-lain.

3. DARI SEGI PENERIMAAN
Agama Kristian menolak pembawa agama Islam iaitu Nabi Muhammad dan melabelnya
sebagai syaitan. Agama Islam pula menerima dan mengimani Jesus sebagai salah seorang
Rasul. Mana-mana orang Islam yang tidak mengimani Jesus sebagai Rasul, maka imannya
dikira rosak. “Muhammad ialah kepala perompak, pemuas hawa nafsu, penderita penyakit ayan,
mempunyai sifat-sifat syaitan.”(Martin Luther dalam bukunya Verlegung Alcaras Bruder Ricaldi) Bahkan ibu kepada Jesus iaitu Maryam sangat dimuliakan dalam al-Quran hinggakan salah satu daripada surah dalam al-Quran dinamakan surah Maryam/ Mariam. Tidak ada surah
bernama Aminah- ibu Nabi Muhammad tetapi ada surah sempena nama ibu kepada Jesus. Tidak ada nama surah sempena ama isteri-isteri Muhammad seperti Khadijah, Aisyah, Zainab
dan tidak ada juga surah sempena nama Fatimah, anaknya. Hal ini menunjukkan Nabi Muhammad memang tidak ada pilihan untuk berbuat sesuka hati dengan isi kandungan Al-Quran. Kerana apa? Kerana isi kandungan al-Quran itu sepenuhnya datang daripada Allah.
“Al-Masih anak Maryam itu tidak lain seorang rasul yang telah didahului sebelumnya beberapa orang rasul, dan ibunya seorang wanita yang amat benar…”(Al-Quran al-Maidah: 75) “…Isa anak Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat…” (Al-Quran Aali Imran: 45)

9 PETUA DOA MUSTAJAB

BERIKUT antara sembilan petua daripada Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa mustajab.

1. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Doa
antara azan dan iqamat tidak akan ditolak."

2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: "Allah akan turun ke langit
dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya
berfirman: "Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan
menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan
daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya.

3. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Tiga orang yang tidak ditolak
doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya.
Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka."

4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: "Aku dilarang membaca al-Quran
ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya adalah ketika
sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu."

5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok,
pohonlah kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu melihat malaikat. "Jika
kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah daripada godaan
syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan."

6. Ubadah bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Sesiapa yang
bangun pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. "Apabila
beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah."

7. Ata bin Abi Rabah berkata: "Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang
membaca surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan."

8. Hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: "Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi
dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: 'Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.'

9. Hadis daripada Abu Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu
baginda bersabda: "Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bila mana seorang Muslim dapat
menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan
dianugerahkan apa yang dipohonnya itu."


Hanya Satu

Demi Masa

Kata Hikmah Minggu Ini

About Me

My photo
Ipoh, Perak, Malaysia
dalam diri aku ada seketul hati yang padanya aku sedang berusaha untuk membersihkannya. Mohon kekuatan dan keikhlasan kepada tuhan untuk aku terus berada di atas landasan yang haq dan mati dalam agama islam dan berada dalam rahmat dan perlindungannya..AMIN